Petua 1
: Jangkakan Kejayaan
Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar
akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan
kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda
jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk
berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan,
maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif.
Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan.
Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar
dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta
kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus
harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah
berikan kepada manusia.
Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau
yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan
kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu
ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan
juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara
yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda
sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang
digenggam.
Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada
harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan
maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap
malas.