Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.
Cuba lihat senario berikut,
katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk
berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar
kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai
pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama
anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan.
Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat
untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama
anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila
pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi
sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati
watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak
berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari
senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab
anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk
berlakun.
Kalau anda berada dalam situasi
di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti
dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula
menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun
ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula
menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan
kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup
mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya
lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda
mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.
Tidakkah anda terfikir betapa
beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari
dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam
lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun
di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan
watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda
berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka
bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang!
Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda
pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan,
menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah
anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya
nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar
cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu
menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain
untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan
berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan
sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka
disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam
masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan
sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.
Anda tidak punya pilihan lain.
Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak
orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah
seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang
akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap
baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari
yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda
perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak
mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda
mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran
baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang
itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.