Tahukah anda salah satu keadaan yang mempengaruhi perangai manusia
adalah iklim? Ia bukan sahaja mempengaruhi perangai dan sikap manusia
tetapi juga mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak.
Bagaimana
ini boleh berlaku?
Di dunia, kita mempunyai pelbagai jenis iklim atau dengan kata lain
cuaca dan musim. Di luar sana kedapatan kepelbagaian iklim seperti 4
musim, tundra, tropika dan panas. Bagaimanakah keadaan ini sangat
mempengaruhi manusia?
Ia tidak memerlukan satu penerangan saintifik untuk memahaminya.
Adakah mudah untuk memperoleh bekalan air ditengah-tengah padang pasir?
Bayangkan seorang perantau yang merentasi padang pasir yang hanya
berbekalkan sebotol air mineral, adakah perjalanan ia akan menjadi
mudah? Bukankah kalau kehabisan air boleh menyebabkan perantau padang
pasir menghadapi risiko maut?
Bagaimana pula di Malaysia, adakah kita risau jikalau hanya membawa
sebotol air mineral ketika bermusafir? Andai tiada sebotol air pun di
dalam kenderaan, kita langsung tidak pernah risau dan tertekan.Tidak
pernah kita mendengar orang mati kehausan di Malaysia ketika bermusafir.
Tekanan Menjadikan Tiada Pilihan
Apakah pilihan yang ada bagi manusia yang tinggal di kawasan yang
mempunyai iklim seperti tundra, panas dan 4 musim? Mereka tiada pilihan
melainkan menyesuaikan diri dengan keadaan untuk meneruskan kehidupan.
Contohnya perubahan cuaca di iklim 4 musim yang berubah daripada
musim panas ke musim sejuk. Musim sejuk kebiasaannya akan membawa
masalah bekalan makanan. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap tahun bagi
mereka yang duduk di iklim ini sentiasa bersedia untuk menyimpan makanan
bagi persediaan musim sejuk. Andai mereka lalai, akibatnya mereka akan
kelaparan dimusim sejuk.
Di padang pasir pula, apabila sudah menjadi persepsi asas bahawa air
sukar diperolehi, maka orang sedia tahu bahawa mereka perlu sentiasa
bersedia dengan bekalan air. Andai putus bekalan air dalam bermusafir,
ia mungkin boleh menyebabkan maut. Orang yang tinggal di tundra sentiasa
mempastikan mereka mempunyai pakaian yang sesuai dengan kesejukan.
Hilang pakaian tebal, maka mereka akan menghadapi risiko kesejukan yang
boleh menyebabkan kematian.
Tidak kurang juga mereka yang tinggal dinegara beriklim ini sering
menghadapi bencana alam. Tidakkah anda melihat mereka tiada pilihan
melainkan mencari jalan bagaimana membuat petempatan yang bersesuaian
untuk menghadapi bencana-bencana seperti ini?
Tiada pilihan membawa manfaat
Apabila kita terlalu banyak pilihan, manusia biasanya banyak
menghabiskan masa berfikir untuk memilih. Berbeza dengan mereka yang
tiada pilihan, mereka akan menghabiskan masa dengan bertindak.
Inilah yang secara tidak langsung menjadi latihan semulajadi yang
membentuk sikap seseorang mengikut keadaan iklim masing-masing. Orang
dinegara 4 musim amat terbuka pemikiran mereka terhadap idea kehidupan.
Ini adalah kerana idea yang bernas akan memudahkan kehidupan. Kerana itu
orang putih kebanyakannya sangat terbuka pemikiran mereka. Ini kerana
pada setiap perubahan musim, mereka perlu berbuat sesuatu sebagai
persediaan.
Berbeza di iklim tropika seperti di Malaysia. Begitu ramai anak muda
yang malas dan membuang masa. Mengapa? Kerana mereka tidak perlu risau
kerana tiada perubahan musim seperti diluar negara. Cuaca di Malaysia
tidak akan membuat mereka maut jikalau putus bekalan air. Andai kata
tiada kerja sekalipun, mereka hanya perlu pergi ke rumah ibu ayah dan
membuka tudung saji.
Bagi negara yang kerap ada bencana alam, rakyatnya sentiasa mempunyai
inovasi untuk mencipta sesuatu bagi survival kehidupan. Rekabentuk dan
kejuruteraan rumah contohnya bagi negara yang sering mempunyai gempa
adalah berteknologi tinggi. Andai gempa berlaku setiap bulan, rumah
mereka masih berdiri teguh dan tahan. Di Malaysia, tiada gempa
sekalipun, bangunan sudah retak dan bocor. Malah ada yang roboh.
Jangan Takut Dengan Tekanan
Tekanan adalah perkara yang membebankan. Tiada siapa yang menyukai
tekanan. Namun bagi mereka yang memahami, pasti akan menghargai tekanan
setelah mengetahui tekanan itu membuat mereka tiada pilihan melainkan
menyelesaikan masalah daripada tekanan tersebut.
Masalah adalah peluang. Ia adalah peluang untuk mempelajari bagaimana
membuat penyelesaian. Apabila manusia sering lari dari masalah, maka
bilakah masanya mereka akan belajar menyelesaikan masalah? Bilakah
masanya mereka akan mematangkan diri jikalau sentiasa lari dari situasi
ini?
Masalah akan tetap berlaku dalam hidup. Orang yang bersedia dan terus
bertindak mempelajari menyelesaikan masalahnya akan mudah di kemudian
hari. Ini adalah kerana masalah-masalah baru lebih mudah diselesaikan
dengan pengalaman yang lalu. Berbeza daripada mereka yang suka lari dari
masalah. Sekecil-kecil masalah boleh menjadi besar kepada mereka.
Hayati Kejadian Allah
Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana. Dalam benak kita berfikir
sukarnya mereka yang tinggal di iklim yang sulit. Tetapi pada mereka ia
sudah menjadi kebiasaan. Kebiasaan itu secara tidak langsung mematangkan
mereka dengan lebih pantas. Berbeza bagi penduduk tropika yang tiada
tekanan dan tidak menghayati perkara ini. Allah memberi mereka kesulitan
pada mata kasar tetapi Allah beri kelebihan peluang mematangkan diri
dari masalah yang diberi. Mereka lebih berpeluang mencipta ilmu
berbanding kita di Malaysia.
Kerana itulah pepatah orang lama berbunyi,'banyak berjalan luas
pemandangan'. Kita pasti akan teruja melihat cara orang luar
menyesuaikan diri dengan iklim dan mukabumi mereka. Orang Malaysia dan
orang beriklim tropika harus bersyukur di atas pemberian tuhan ini
kerana iklim dan cuaca di sini adalah satu anugerah yang diidamkan
mereka yang tinggal di iklim yang memberi ancaman.
Mengapa Rasulullah bersabda 'tuntutlah ilmu walau ke negeri china'?.
Mengapa tidak menuntut ilmu dengan orang cina? Hakikatnya, selain
daripada bangsa cina itu sendiri yang mempunyai keunikan, hadith ini
menggesa manusia bergerak keluar dari tempat sendiri meneroka budaya,
cara hidup, kehidupan dan keadaan ditempat orang. Seandainya kita tidak
berpeluang memperoleh rezeki untuk mengembara, tanyalah daripada mereka
yang pernah merantau. Dapatkan perkongsian tentang apa yang ada di dunia
luar sana.