Realiti Sebuah Kehidupan : Kita Ialah Hamba Allah S.W.T
Memang realiti sebuah kehidupan iaitu kita adalah hamba tuhan. Tidak
kira perkara yang kita lakukan semuanya dalam pengetahuan Allah S.W.T.
Kesedihan, kegembiraan, kemarahan yang dirasai adalah liku-liku
kehidupan yang menjadikan kehidupan kita penuh warna-warni.
Sedarkah kita yang kadang-kadang kita berusaha sedaya mungkin tetapi
masih gagal merealisasikan cita-cita dan harapan. Kita bukannya tidak
bekerja bersungguh-sungguh, malah telah mencuba yang terbaik untuk
meningkatkan prestasi dibidang yang kita ceburi.
"Apakah pilihan kita?"
Jika kita berasa kecewa dengan apa yang kita miliki tentu kita akan
terus beroleh kekecewaan. Perkara yang kita fikir itulah yang kita akan
dapat. Lebih baik untuk kita muhasabah diri dan merenung hikmah yang
tersembunyi disebalik perkara yang terjadi. Jika kita memilih untuk
terus berusaha dan tidak membelakangkan Allah S.W.T, pastinya kita akan
diberi laluan untuk berjaya kelak.
Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mencari tempat untuk meluahkan
perasaan. Manusia memerlukan manusia lain untuk hidup. Hiduplah
bermasyarakat supaya di waktu kita susah, ada yang sudi membantu dan
mahu berkongsi cerita. Orang yang mempunyai masalah dan tidak menjumpai
tempat meluahkannya akan merasa bebanan, dia akan merasai kehidupan di
dunia terlalu berat dan sarat dengan masalah. Perasaan ini jika tidak
dikawal boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diduga.
Justeru, untuk bangkit semula kita harus mencari teman dan rakan yang
dipercayai dan akan bersama-sama melayari kehidupan dengan kita.