Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan
Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran
yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan
fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak
dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa
yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.
Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah.
Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah
pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit
untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada
lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang
tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.
Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran
kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi
pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air?
Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak
terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung
tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa
kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin
dapat menghasilkannya.
Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi
orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang
berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai
hari ini untuk menjadi orang berjaya.
Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:
- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.
Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik
tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang
anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam
pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa,
ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah
juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif
sedangkan hasrat anda baik.
Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada
gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti
berikut:
- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.
Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari
sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran
yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah
juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah
dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata
secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali
anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda
sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus
kepada apa yang anda mahukan!