"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?"
lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah
merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada
merasakan kerisauan.
Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya.
Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa
dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia
sepi dan resahnya sendiri.
Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya.
Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai
menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki
tua.
Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai
sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia
terus berperi kepada lelaki tua tersebut.
Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil
tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi
sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus
garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.
"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.
"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam,"
ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.
Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.
"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.
" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.
" Masin!"
Lelaki tua itu tersenyum lagi.
"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."
Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu
hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak
tangan dan dihirup.
"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.
"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.
"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu
tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki
tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu
lelaki tersebut.
"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu
umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai
masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati
kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu,
pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."
"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu
kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan
hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir,
untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada
kita."
"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa
membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara
lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali
membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu
menanggung diriku sendiri."
Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir
di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan
berlapang dada.